Monday, December 8, 2008

Kenal tapi tak cinta.

Terasa macam baru semalam aku melihat lembaran surat itu. Padahal telah lamaku sisipkannya ke dalam diari hijauku. Fikiranku bercelaru mengingatkan kembali bait-bait ayat yang tersusun kemas mengisi baris- baris kosong. Aku tahu akulah punca hadirnya lembaran itu. Beban dosa dapatku rasakan di bahuku, menekan pundak dan benak. Akulah puncanya, dia terlalai dan begitu juga aku. Adakah perasaan penyesalan ini yang dinamakan iman? Atau sesuatu yang diistilah ‘puas’ setelah mengenalinya dan mempermainkannya?

‘Habis madu sepah dibuang’. Akukah yang menggambarkan pepatah ini kepadanya. Setelahku memberinya harapan yang menggunung kemudianku mendiam tanpa sebarang penjelasan. Adilkah aku terhadap dirinya? Patutkahku memberitahu apa yang terpendam kemas di dalam lubuk hati ini. Jiwa ini merasa terbeban apabila memberikan sesuatu yang bukan pada haknya. Bukanlah cinta yangku berikan tetapi ‘harapan’. Aku tahu hatiku ini tak pernah menghadirkan cinta padanya dan juga manusia lain yang dinamakan wanita. Aku tidak mahu dia merasakan dirinya dipermainkan tetapi aku mahu dia merasa dirinya dihargai.

‘Dihargai?’, bagaimana menghargai seseorang dengan meninggalkannya? Ya, aku menhargainya dengan memberikan haknya sebagai seorang wanita yang belum berkahwin. Bukankah hak untuk bersama itu ada pada sahabat- sahabat wanitanya, ibu bapanya dan suaminya? Bagaimana dengan harapan yang telahku berikan padanya? Mungkin dia sudah menanamkan dalam hatinya yang akulah lelaki yang bakal menjadi suaminya. Jika itu yang terjadi, aku bersedia mencintainya tetapi bukan sekarang! Mencintainya selepas dia bergelar isteriku yang sah, itulah haknya sebagai isteriku.

Jika dia bukan isterimu? Aku yakin jodoh pertemuan itu milik Allah, Dialah yang akan menentukannya. Andai bukan takdir kami untuk bersatu aku redha dengan aturan itu. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Dalam doaku setiap hari, tidak pernahku meminta untuk disatukan dengannya tetapi yangku pinta ialah , agar aku ditemukan dengan ‘wanita yang solehah’. Wanita yang akan menemaniku untuk menegakkan agama Allah, wanita yang akan melahirkan dan mendidik anak- anak yang soleh dan solehah yang bakal menjadi jentera- jentera penggerak ummat islam, wanita yang kental hati dan utuh cintanya pada agama, wanita yang mengingatkan aku agar istiqamah di atas landasan agama, wanita yang bukan sekadar perhiasan dunia tetapi juga bakal bidadari yang akan menemaniku di syurga.

Aku mahu meninggalkan dirimu kini kerana aku merasa terbeban melakukan sesuatu yang bukan pada tempatnya. Usahlah kau menghubungiku melainkan perkara- perkara yang penting sahaja. Tidak perlulah berkongsi segalanya tentang dirimu, ingatlah dirimu sangat berharga. Segala rahsia itu milik suamimu dimasa akan datang. Aku juga tidak mahu larut dalam maksiat hati apabila mengingatimu. Tiada ikatan lagi diantara kita yang membolehkan aku menghadirkan perasaan kepadamu. Dirimu sudahku kenali namun cinta ini tak dapatku beri. Masih terlalu awal untuk bersatu, kerana aku masih ketandusan ilmu, aku tak mahu rumahtanggaku dibina atas dasar terburu-buru dan nafsu. Aku mahu mahligai itu dibina atas dasar cintakan Allah. Maafkan aku kerana aku yang memulakan pertemuan ini. Marilah kita sama- sama memanjat taubat kepada Allah. Dirimu percaya pada Jodoh bukan? Andai ada jodoh diantara kita, yakinlah Allah pasti akan satukan, andai tiada, maka Allah lebih mengetahui baik dan buruknya.

Usahlah bersedih kerana terpisah, tetapi kau harus gembira kerana dirimu telah terkeluar daripada terus diulit dosa. Dirimu kini tidak terikat dengan diriku, kau berhak memilih sesiapa selain dariku untuk kau terima menjadi suamimu. Pilihlah yang beriman, dan bertaqwa yang kau rasakan akan membimbing hidupmu dalam redha Ilahi. bersama- samalah menjaga hati. Kumohon maaf atas kesilapanku, kuharap kau tahu beban yang menekan pundakku. Kuharap kaupun dapat merasakannya. Akhir kata dari ku… “Moga Allah memberkati hidupmu”.

Pen di tanganku terhenti dari terus menari. Sunyi suasana malam menemaniku ketika ini, kulontarkan pandanganku keluar jendela mengarah anak sungai di belakang mahallah. “Surat ini akan sampai kepadanya” getus hatiku sambil berdoa moga Allah memudahkan urusanku. Fahamilah isinya dengan hatimu.

Gerimis Salju Membara

11.47mlm 11th November 2008

2 comments:

anisdiyana said...

nice writing..utk siapekah??huhu tp like reading ur style of writing..huhuhu kagum la coz i dun like reading sgt^^

Aizuddin said...

jangan risau, bukan untuk kau