“ Awak yakin dengan apa yang awak beritahu pada saya ni Saleh? Nanti awak pula yang saya denda” Miss Rahayu menyoal dan menggertak Saleh serius ketika perjalanan mereka ke bilik guru untuk memanggil pengetua.
“Eh cikgu, buat apa kita pergi bilik guru? Kita nak tangkap orang lewat je. Bukan nak tangkap orang ponteng kelas.” Saleh cuba mencari jawapan agar dia mengerti apa yang cuba dilakukan Miss Rahayu.
“Awak ikut saja dan beritahu saya pasal mereka apabila saya tanya.” Arahan yang harus dipatuhi oleh Saleh yang sudah mula rasa bersalah membantu gurunya.
Tapi itu semua perlu diketepikan, yang penting biar dendamnya terbalas ke atas budak dua ekor itu. Semua kerana mereka mentertawakannya bersin hingus berbentuk belon tempoh hari.
Saleh diarahkan cikgunya untuk berdiri di hadapan pintu bilik guru sementara Miss Rahayu berjumpa dengan seseorang di dalam.
Suasana hingar di pagi itu jelas kedengaran dari tempat dia berdiri.
Saleh memandang ke arah blok bangunan kelasnya yang terletak di sebelah kantin sekolah. Fikiran Saleh mula melayang dan dia ketawa seorang diri.
Sementara di dalam bilik guru, seorang lelaki yang segak dan berpakaian kemas sedang membelek timbunan fail di mejanya.
Lelaki yang berketerampilan ini berusia pertengahan empat puluhan. Namun begitu, jika dilihat dari raut wajahnya yang ceria, lelaki itu seakan baru berusia tiga puluhan.
Itulah Pengetua Ibrahim Ahmad Daud yang menerajui kepimpinan sekolah ini.
Dia merupakan seorang bapa mithali yang juga merangkap bapa tunggal kerana isterinya pergi menyambut seruan ilahi. Bekas guru Bahasa Inggeris ini sering mengamalkan penggunaan bahasa rojak walaupun telah ditegur beberapa kali oleh anaknya yang juga seorang guru Bahasa Melayu di sekolah lain.
“Tiada orang yang sempurna”, itulah kata- katanya di perhimpunan setiap kali berucap dalam Bahasa Melayu. Barangkali beliau sedar akan kesilapannya yang tak dapat dibetulkan, inilah tabiat.
Tetapi jika berucap dalam Bahasa Inggeris di perhimpunan , satu kesilapanpun tidak dapat dikesan kerana semuanya tidur akibat terlalu bosan dengan ucapannya.
Kerana itulah perhimpunan hanya diadakan pada hari Isnin sahaja dan semua pelajar wajib berdiri.
“Cikgu,” suara halus menggegar gegendang telinga Pengetua Ibrahim.
Beliau memandang ke pintu yang terbuka dan melihat gerangan yang bersuara. “Yes, boleh I help you, Miss Rahayu?”.
Sunday, December 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment