Tuesday, April 21, 2009

Kisah Seorang Genius yang Rendah Diri. ( The Humble Genius Man’s Story) by Gerimis Salju Membara

Kamal.

Disebalik kesederhanaan wajahnya tersimpan seribu kisah yang mampu mengangkat ego seorang lelaki. Dia- kamal, bukan calang- calang insan.

Sejak dia dilahirkan di sebuah kampung di San Francisco, pakciknya- Wak Elbert sudah menjangkakan yang dia dilahirkan dan dianugerahkan dengan kelebihan melebihi insan lain.

Kenapa?

Kerana dia tidak menangis apabila lapar, tetapi dia menghentak- hentak perutnya sebagai tanda dia lapar. Dia tidak menangis sejak berusia 7hari. Dia normal ketika dilahirkan tanpa jaundice mahupun cyanosis. Beratnya juga normal seperti bayi- bayi lain namun dia ada bezanya.

Apa bezanya?

Dia tidak tidur selama sebulan awal hidupnya. Menangis apabila diletakkan di dalam buaian ketika 7hari awal kehidupannya. Dan berhenti menangis apabila ditunjukkan pen dan buku hutang ayahnya buat pertama kali.

Sejak hari itu, ayahnya memberi Kamal pen dan kertas supaya dia dapat menulis. Namun Kamal hanya memandang saja semua itu, kerana dia masih tidak mampu bergerak. Kamal pandai menyebut ‘mama’ dan ‘papa’ ketika berusia 2 minggu.

Ayah dan mama kamal sangat terkejut apabila mendengar suara kamal.

Dia mula menghafal sifir 145 ketika berusia 6bulan. Walaupun dia sudah pandai berfikir namun dia masih menggunakan lampin pakai buang kerana malas hendak ke tandas.

Setahun berlalu usia hidupnya, Kamal telahpun menghabiskan 30buah buku yang setiap satunya mengandungi lebih 200muka surat. Antara bukunya ialah al- muwatta’, kitab hadith bukhari, kitab hadith muslim, ayat- ayat cinta, Riyaddus Solihin imam nawawi, Pathology- Robins and brown dan lain- lain buku serta genre.

Mengusai addmath form 5 pada umur 2 tahun dengan bantuan jirannya yang ketika itu menduduki peperiksaan SPM. Pada usia 3tahun, Kamal telah diberi tawaran oleh JKK Kampung untuk mengajar addmath di balai raya. Namun kamal menolak dengan tidur setiap kali wakil JKK Kampung datang untuk menemuinya.

Selain dari hebat dari segi matematik, Kamal juga seorang penghafal yang sangat baik. Dia dapat mengingati semua kedudukan serta jumlah huruf di dalam surat khabar yang dibacanya setiap hari. Dia juga telah menghafal al- quran juz 1- 15 ketika berusia berusia 4tahun. Ayah dan ibunya tidak sedar Kamal menghafal semua ayat- ayat ini kerana mereka tidak pernah memperdengarkan ayat suci al- quran kepada kamal.

Kamal menghafalnya daripada suara jirannya yang mengulang setiap hari. Allah meletakkan bilik Kamal setentang dengan bilik jirannya yang merupakan seorang hafiz al- quran.

Kementerian pendidikan pernah menawarkan program pendidikan khas pengajian tinggi kepada Kamal atas permohonan pakciknya. Namun, Kamal menolak. Dia tidak mahu terpisah daripada rakan- rakan sepermainannya di waktu petang.

Pada usia tujuh tahun, kamal memasuki darjah satu tetapi dia diletakkan di kelas terakhir kerana gagal ujian membaca.Kamal sengaja menggagalkan dirinya. Ayah dan ibunya memarahi kamal. Namun kamal diam membisu.

Darjah dua, kamal masuk kelas nombor satu kerana semua rakannya yang duduk kelas terakhir telah masuk kelas nombor satu. Semuanya, gara- gara kamal mengajar mereka setiap hari di rumahnya.

Cikgu Mei Lin (Guru kelas kamal sewaktu darjah 3) pernah beberapa kali cuba untuk membunuh diri kerana tidak dapat menjawab soalan kamal berkaitan subjek sains.

Ustaz Helmi pula sering menjemput kamal ke biliknya untuk meminta kamal menyiapkan teks khutbah jumaat setiap minggu. Upah yang diberi kepada kamal ialah gula- gula coklat setiap kali dia menyiapkan sehelai teks khutbah. Pernah sekali Ustaz Helmi mahu membelikan Kamal basikal sebagai tanda terima kasih namun Kamal mengugut untuk tidak membantunya jika diberikan basikal. Cukuplah sekadar diberi gula- gula coklat, itu sudah memadai.

Kamal tidak pernah menyertai pertandingan matematik, debat, pidato, pantun, bola sepak, reka cipta dan pelbagai lagi. Dia beranggapan bahawa semua itu akan membuang masanya mengkaji perkara yang diminatinya.Oleh itu kebolehan dalam semua itu tidak diketahui oleh sesiapa melainkan kawan- kawan rapatnya iaitu Salim, Amin, Achik, Peon, Kamaruddin dan Ilyas. Mereka berjanji untuk tidak memberitahu sesiapa akan kebolehan Kamal.

Kamal pernah menulis sebuah buku bertajuk, “Menilai Sistem Pembelajaran dalam Bahasa Inggeris di Malaysia” ketika berada di tingkatan tiga. Buku setebal 400mukasurat itu membincangkan dengan lengkap akan permasalahan, kebaikan serta keburukan sistem yang diimplimenkan ketika itu. Dia menggunakan nama pakciknya(Wak Elbert) sebagai penulis. Namun begitu bukunya telah diharamkan kerajaan Malaysia kerana menimbulkan kontroversi.

Menyingkap pencapaian SPMnya, Kamal yang ketika itu menuntut di salah sebuah sekolah agama swasta di Johor . Telah mengambil 22subjek pada tahun dia patut menduduki peperiksaan SPM. Dia mendapat 21 A1(purata markah 98-100) dan 1G8 iaitu kertas bahasa melayunya.

Kamal sengaja berbuat begitu kerana dia mahu belajar satu kelas dengan gadis yang diminatinya. Walaupun, terang- terang gadis itu tidak mempedulikan Kamal. Kamal sanggup mengulang tingkatan limanya. Inilah kelemahan Kamal, dia lemah kepada perempuan.

Setelah cinta monyet Kamal tidak bersambut kerana rupa- rupanya gadis itu ialah tunangan orang, Kamal bersungguh mengambil 14subjek sahaja. Kali ini dia menggagalkan subjek geografinya agar tidak diangkat menjadi pelajar terbaik peringkat nasional. Guru- guru Kamal terkejut apabila keputusan Kamal diumumkan. Bukan kerana gagal satu subjek tetapi kerana dia memperoleh 13 A1. Sebelum ini Kamal sentiasa mengagalkan dirinya dalam ujian dan juga percubaan SPM. Dia dianggap pelajar bukan harapan sekolahnya. Namun, inilah sebaliknya yang terjadi.

Kamal bersyukur kerana tidak dinobat sebagai pelajar terbaik SPM disekolahnya. Dia takut perasaan riak akan menguasai dirinya. Sewaktu penyampaian sijil SPM berlangsung di sekolahnya, Kamal tidak dapat menghadirkan diri kerana dia sedang keluar Tabligh 40 hari di sekitar Kuantan.

Pulang dari keluar 40 hari, Kamal dikejutkan dengan berita pemergian Cikgu Mei Lin@ Mariam. Dia bersedih namun bersyukur kerana Cikgu Mei Lin sempat memeluk agama islam. Arwah Cikgu Mei Lin memeluk agama islam selepas seminggu Kamal menghadiahkannya al-quran terjemahan serta surat yang ditulisnya apabila dia mengetahui Cikgu Mei Lin tertekan untuk menjawab soalannya. Arwah Cikgu Mei Lin @Mariam tersentuh dengan kandungan surat itu lalu melafazkan kalimah syahadah setelah diajar oleh Ustaz Helmi. Alhamdulillah, setelah sebulan beliau memeluk agama islam. Beliau telah dilamar oleh Ustaz Helmi untuk menjadi peneman hidupnya. Semua itu berlaku sewaktu Kamal darjah tiga.

Arwah dikurniakan dengan 3orang cahaya mata. Sewaktu menziarahi Ustaz Helmi dan anak- anaknya selepas pemergian Cikgu Mei Lin, Kamal sempat menangis dan itulah kali pertama hatinya tersentuh apabila melihat anak- anak ustaz Helmi bertanya di mana ibu mereka. Kamal dapat merasa kesedihan yang dialami mereka. Anak bongsu Ustaz Helmi yang baru berusia dua tahun demam kerana terlalu rindukan ibunya. Kamal yang ketika itu sedang bercuti menawarkan diri untuk menjadi penjaga kepada anak –anak ustaz Helmi.

Ustaz Helmi yang sedang buntu untuk mencari pembantu rumah menerima tawaran Kamal. Kamal tidak mengharapkan sebarang bayaran. Dia senang melayan karenah adik- adik barunya.Namun yang sukar untuk dipercayai ialah, anak- anak ustaz Helmi tidak tahu berbahasa melayu! Mereka bertutur bahasa cina sepenuhnya.

Kamal belajar bahasa cina melalui siaran televisyen, dia juga kerap ke pasar untuk membeli barangan keperluan. Makanya digunakan kesempatan itu untuk belajar. Dia dapat bertutur bahasa cina dengan fasih selepas dua minggu berlatih. Ustaz Helmi hairan akan kebolehan Kamal menguasai bahasa cina dengan begitu cepat sekali.

Makram, Mahmud dan Marjan Jalwaa’ sangat menyayangi abang baru mereka. Dianggapnya Kamal seperti ibu kerana menjaga mereka setiap hari. Makram yang sulung berusia 8tahun ketika itu, adiknya Mahmud berusia 4tahun manakala Marjan Jalwaa’ berusia dua tahun. Marjanlah yang paling manja dengan Kamal. Apabila tiba waktu untuk Kamal pulang ke rumahnya, Marjan akan merengek, setelah dipujuk barulah dia melambai comel merelakan pemergian si Kamal.

Tiga bulan berlalu, Surat tawaran daripada MARA tiba, Kamal ditawar untuk ke Universiti al- Azhar di Mesir dalam bidang Syariah dan Undang- undang. Kamal sorokkan surat itu daripada pengetahuan keluarganya. Dia mahu ke sana diam- diam. Ibu bapanya mahu Kamal mengambil jurusan sains seperti medic ataupun farmasi. Namun, Kamal meminati bidang yang berkaitan dengan sastera dan agama.

Lagi seminggu tarikh untuk Kamal berlepas ke Mesir, ibunya menjumpai surat tawaran itu beserta pastport dan semua borang serta sijil milik Kamal. Ibunya marah bukan kepalang, begitu juga ayahnya. Ayahnya mengambil keputusan untuk menghantar Kamal ke sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.

Kamal yang kecewa ketika itu lari ke rumah Ustaz Helmi. Dia menceritakan segalanya kepada ayah angkatnya itu sambil menangis. Adik- adiknya juga turut menangis sama walaupun tidak mengerti apa yang diperkatakan oleh Kamal. Ustaz Helmi menasihati Kamal supaya jangan melukai hati kedua ibu bapanya. “Ilmu Allah itu luas jika kamu menginginkannya tidak kira di mana kamu berada insyaAllah akan Allah memberikan kepadamu. Yang kamu perlukan kini ialah mengerti nilai sebuah kesabaran”. Itulah kata- kata Ustaz Helmi.

Kamal paksa rela mengemas begnya dan menuju ke institusi pengajian tersebut. Dia menuntut dalam jurusan perubatan. Halangan pertamanya di matrikulasi dilepasi dengan mudah. Dialah satu- satunya pelajar yang berada di matrik itu selama setahun setengah. Yang lain perlu menghabiskannya dalam masa dua tahun.

Baki setengah tahun digunakannya untuk menjaga anak ustaz Helmi dan menanam pisang di belakang rumahnya. Dalam tempoh 6 bulan, pisangnya mengeluarkan hasil yang menakjubkan. Pohon pisang milik Kamal tumbuh dan berbuah lebih cepat dari pisang lain. Rasanya juga lebih enak serta pisang juga tahan lebih lama. Kamal mengatakan anak pisang itu diperoleh daripada pakciknya Wak Elbert, padahal dia sendiri yang mengusahakan benih pisang bermutu itu. Kementerian Pertanian telah menganugerahkan gelaran usahawan terbaik tahunan kepada Wak Elbert atas usaha Kamal. Wak Elbert sudah maklum akan sikap Kamal yang bencikan pujian.

Ada kisah semasa Kamal di matrikulasi, dia pernah melibatkan diri dalam program Palestinian Week. Sebagai seorang yang dikurniakan kelebihan Kamal merasa apa yang orang- orang di Palestin rasa. Malahan dia merasakan lebih lagi. Dia telah mengambil keputusan drastik. Digunakan duit biasiswanya lalu, dibelinya tiket kapal terbang ke Mesir. Dari sana, dia mahu menyeludup masuk ke bumi Palestin. Dia mahu berjuang dan mati di bumi anbiya’ itu.

Dalam perjalanan Kamal ditakdirkan bertemu dengan seorang aktivis Aman Palestin dari Malaysia, Dr. Izral. Dia menasihati kamal agar jangan mengambil tindakan terburu- buru. Dr. Izral menceritakan kepada Kamal akan latihan yang dijalani oleh tentera-tentera bridget al-Qassam. Mereka dipilih daripada kriteria yang bukan hanya pada kekuatan fizikal tetapi juga kekuatan hati. Kamal merasakan dirinya masih belum layak untuk berjihad terus dengan cara itu.

Kamal mendengar nasihat Dr. Izral. Dia pulang ke tanah air tanpa menceritakan apa yang dia lakukan setelah sebulan menghilangkan diri. Ibu bapanya yang risau akan kehilangannya juga tidak dia beritahu akan punca kehilangannya. Setelah kepulangannya dari Mesir, Kamal aktif dalam dunia dakwah. Kebolehannya berbicara dan mengingati fakta digunakan sepenuhnya untuk menyebarkan fikrah islami di kalangan rakan- rakan. Dia tidak terkenal dengan kepandaiannya namun orang mengenalinya dengan ideanya yang bernas serta kesungguhannya mengislahkan orang disekelilingnya.

6bulan cuti menunggu semester baru digunakan Kamal bagi mengumpul duit untuk tabung rakyat Palestine. Dia begitu cinta akan saudaranya yang jauh disana. Duit hasil jualan pisangnya diserahkan seratus peratus kepada Dr. Izral untuk disumbangkan ke tabung Palestin. Dr. Izral terkejut melihat duit yang melebihi angka seratus ribu diserahkan kepadanya. Kamal menyatakan syarikat Wak Elbert yang memberikan wang itu. Memang tanah pisang itu kepunyaan Wak Elbert namun yang menguruskannya ialah Kamal.

Tiba masanya Kamal melanjutkan pelajarannya di Fakulti Perubatan. Namanya disebut-sebut sebagai orang yang berpotensi menjadi pelajar cemerlang. Kamal bencikan bisikan- bisikan itu. Dia tidak suka dipuji dan dipandang tinggi.

Kamal gagal dalam blok pertama pembelajarannya. Dia sengaja menulis jawapan yang salah di atas kertas jawapannya. Dia masih tidak berpuas hati apabila ada yang masih memujinya. Dia gagalkan dirinya sepanjang tahun pertama pembelajaran.

Kini, dia dipanggil sebagai budak yang bermasalah dan tidak boleh dipercayai akan jawapannya. Dia selesa dengan itu. Namun, bersamanya ada seorang lagi pelajar yang gagal meneruskan pengajian ke tahun 2, Mukhriz namanya.

“Kau tahu apa persamaan aku dengan kau?” Mukhriz pernah menyoal Kamal.

“Persamaannya kita gagal, perbezaannya aku tak pasti.” Kamal menjawab ringkas.

“Ya, memang kita sama- sama gagal, tapi aku gagal setelah bangun setiap jam 3 pagi untuk membaca, tidur lewat setiap hari untuk mengulangkaji, hadir ke kelas awal setiap hari, berjumpa dengan lecturer untuk bertanya topik yang aku tak faham dan berdoa supaya aku diberi kelulusan. Namun aku gagal juga. Kau pula, mencari kegagalan dengan sengaja tidur di dalam dewan peperiksaan, ponteng kelas supaya kau dilarang untuk menduduki peperiksaan, tidak menyiapkan tugasan yang diberi lecturer supaya kau dianggap pelajar bermasalah! Apa yang kau fikirkan ha?” Mukhriz tidak dapat memaafkan perlakuan Kamal.

“Aku tak mahu orang memandang tinggi kepada aku!” Kamal cuba membela diri.

“Jadi kau mahu orang memandang rendah kepada kau?”

“Ya,”

“Tidakkah kau berasa malu kepada Allah?”

“kenapa?”

“Dimanakah sifat ihsan kau kepada Allah? Bukankah melakukan sesuatu kerana Allah dengan bersungguh- sungguh dan sehabis baik merupakan salah satu daripada cabang ihsan kepada Allah?”

“….ya tapi aku takut riak apabila dipuji..”

“Adakah kau minta dirimu untuk dipuji? Tidak bukan? Maka, jika kau berhenti daripada melakukan sesuatu kerana takut dikatakan riak maka tindakan kau itu telah dikira sebagai riak. Jagalah hati kau daripada riak bukannya melarikan diri daripada tanggungjawab kau menuntut ilmu. Kau perlu lulus untuk meneruskan perjuangan… Kamal, Aku tahu kau boleh melakukan lebih dari ini. Allah memberikan kelebihan kepada kau, maka kau harus menggunakan kelebihan itu untuk membantu agama Allah,” Mukhriz menasihati Kamal.

Sejak hari itu, Kamal nekad mahu berubah.

Dia diberi peluang untuk mengulang tahun pertamanya bersama mukhriz. Hari pertama dia di dalam kelas, dia sudah tampil kehadapan memperkenalkan diri sebagai pelajar ulangan. Dia menawarkan diri untuk menjadi ketua kepada Batch yang baru itu. Mereka bersetuju.

Dia juga dikejutkan dengan seseorang di dalam kuliyahnya. Orang yang pernah meremukkan hatinya dulu. Pelajar perempuan yang pernah menolak cintanya – Zuhairah Khalisah.

Dia tidak mempedulikan perasaannya yang bergelora mahu marah. Namun, jiwanya kembali gembira apabila mengetahui Zuhairah Khalisah masih belum berkahwin. Tunangnya meninggal tiga minggu sebelum mereka diijabkabulkan.

Kamal seperti yang tidak dijangka oleh sesiapa, memperoleh distinction untuk blok pertamanya. Orang pelik melihatnya yang sibuk menyertai program berkaitan isu palestin, islah pelajar, menanam pokok, menulis buku, mengajar pelajar sekolah mengaji, 3 halaqah yang diurusnya dan banyak lagi mendapat markah penuh untuk Multiple Choice Question, Problem Based Learning, Esei dan Short Notes. Cuma exam OSPE(exam lab practical) sahaja markahnya tidak penuh kerana tulisannya tidak dapat dibaca lecturer kerana terlalu buruk. Itupun hanya 0.5 markah.

Keseluruhan markah 99.9… giler Kamal nih.

Sejak hari tu, Kamal mula jadi perhatian. Dia mengambil peluang ini untuk menjalankan study group. Ramai yang ikut serta studi group Kamal. Kamal bukan sahaja ajar bab- bab medikal sahaja malah dia tambahkan fikrah islami untuk dihayati oleh sahabat- sahabatnya. Batch Kamal tiada sesiapapun yang gagal sehingga mereka habis tahun pertama.

Jika di bahagian lelaki Kamal digelar sebagai bintang yang menyinar, di bahagian perempuan pula Zuhairah Khalisah mengekor jejaknya. Walaupun Kamal memang terlalu bijak untuk ditandingi, namun Zuhairah juga tidak kurang hebatnya. Dia juga pelajar yang memperoleh distinction di setiap blok selain aktif dalam aktiviti- aktiviti dakwah.

Kamal punye keputusan memang tip top. Kalau tak 100 mesti 99.9 walaupun dia sibuk dan tak tengok buku langsung. Tak tahu bila dia baca semua benda ni. Kata Kamal, ini semua ilmu Allah, dia hanya dapat cebisan daripada ilmu yang maha banyak tu.

Cebisan- cebisan ilmu Kamal memang banyak. Bayangkan buku Clinical Medcine Kumar & Clark yang lebih seribu mukasurat dihafal Kamal kulit ke kulit. Tidakkah gila itu? Al- Quran dihafal huruf dan barisnya serta kedudukan setiap satunya. Kamal pernah memberitahu yang dia tidak dapat melupakan memorinya sejak mula berusia 7hari.

Dia masih ingat makanan yang dimakannya selama sebulan ketika berusia tiga tahun.
Dia dapat menyebut setiap nama kawan- kawan yang sekelas dengannya dari darjah satu sampai tingkatan lima, nama penuh beserta binnya sekali.

Dia dapat mengingati warna baju yang dipakai oleh lecturernya ketika hari ketiga, keempat atau hari- hari yang lain. Allah memberinya kelebihan untuk semua itu tidak luput daripada ingatannya.

Termasuklah wajah Zuhairah Khalisah. Dia tidak boleh memadam wajah ayu si gadis rupawan yang sopan bertudung labuh itu dari kotak memorinya. Seolah sudah diset, terkadang imej itu berlalu menerpa hatinya. Imannya terkadang tergugat dengan ujian itu Hatinya beristigfar kecil setiap kali munculnya wajah gadis itu.

Dia punya tempat untuk mengadu, Dr Izral. Hatinya kembali tenang setiap kali bertemu dengan Dr. Izral dalam Halaqah mingguan bersama teman- temannya. Di medan inilah ukhuwwah ditaut dan iman mereka dipadu untuk membentuk hati yang beramal kerana Allah. Dari hati akan terbitlah individu muslim yang akan membentuk keluarga muslim. Lalu lahirnya masyarakat muslim yang seterusnya membentuk sebuah Negara islam. Negara- Negara ini bergabung membentuk sebuah khilafah islamiah. Akhirnya tertegaknya Islam di seluruh bumi ini.

Cuti habis tahun pertama digunakan Kamal untuk pulang ke rumah. Dia mahu berbakti kepada ibu dan ayahnya. Dia juga rindu dengan adik- adik angkatnya, juga sama Ustaz Helmi. Sudah lama tidak bertanya perkhabaran.

Tiba di rumah, dia memeluk dan mecium pipi ibunya, ayahnya juga diperlakukan begitu. Hadiah istimewa diberikan kepada mereka berdua. Petangnya dia pergi ke rumah Ustaz Helmi namun rumah itu kosong. Jiran Ustaz Helmi memberitahu yang beliau sekeluarga telah berpindah ke Jordan. Ustaz Helmi melanjutkan pelajaran ke sana.

Kamal menangis sepanjang malam itu, dia begitu rindukan ketawa adik- adiknya. Makram, Mahmud dan Marjan Jalwaa’. Marjan tentu sekali rindukan kehadirannya. Hadiah- hadiah yang telah dibelikan untuk mereka bertiga disimpan rapi di bawah katilnya. Dia mengesat air matanya lalu berwuduk untuk solat sunat bagi menenangkan hatinya.

Esoknya selepas subuh Kamal duduk berteleku di bahagian belakang masjid. Di tangannya tersisip kemas al- Quran al- karim. Mungkin dia mahu mengulangnya. Sedang dia khusyuk membaca dan menyemak bacaannya satu persatu tiba- tiba seseorang memberikan salam.

“Wa’alaikumsalam, Oh Abang Halif,” spontan Kamal bersuara.

“Ya, apa khabar Kamal? rasanya sudah lebih lima tahun kita tidak berjumpa bukan?” soal Halif lembut kepada Kamal.

“Ya bang, Ya. Kali terakhir saya melihat abang sewaktu abang menaiki kereta saga merah dengan baju kemeja putih dan jaket hitam, ayah, ibu serta adik abang juga ada sekali, barang kali menghantar abang ke air port. Alhamdulillah saya sihat” Kamal sangat jelas dengan peristiwa itu. Abang Halif berada di Australia selama 4tahun.

“Wah, kau masih ingat Mal, Abang sendiri sudah lupa tentang itu, jika tak silap kau belajar di Universiti Islami Malaysia. Kau satu kuliyyah dengan adikku bukan?”

“Ya, bang Halif,”

“Kau hebat ya di sana, hampir- hampir saja seratus markah kau.” Puji abang Halif.

“Tidak bang, Allah yang hebat bang, dia meminjamkan saya ilmuNya yang tidak terhingga. Aku cuma berusaha sebagaimana yang dituntutNya bang,”

“Benar tu Kamal. Kau tahu Kamal, adikku sering menceritakan tentang kau padaku sepanjang dia berada di rumah,” Kata- kata abang Halif yang membuatkan darah Kamal berderau. Bulu romanya tegak dan jantungnya berdegup kencang. “Kau tahu apa maknanya Kamal?” abang Halif sambung menyoal Kamal.

“Tidak bang..,” Kamal buntu berfikir, lidahnya kelu untuk menjawab kerana rasionalnya sedikit lari.

“Buah yang masak, eloknya dipetik sebelum ranumnya habis Kamal… Fikirkan ya?” Abang Halif bangkit dan menepuk bahu Kamal lalu berlalu pergi meninggal Kamal yang sedang membatu.

Kamal pulang ke rumah dengan perasaan bercampur baur. Dia gembira, takut, sedih, gusar, dan banyak lagi. Dikongsinya bersama kedua orangtuanya, mereka nyata tidak punya sebarang masalah. Namun, ingin dirunding dulu perihal itu bersama Naqibnya Dr. Izral.

Sebelum habis cuti bloknya, setiap malam Kamal bangkit beristikarah mencari petunjuk dari Allah swt.

Kamal punya kekurangan berbanding insan lain. Dia tidak dapat tidur sejak mencapai usia 13tahun. Pertumbuhan dan perkembangan mentalnya normal walaupun dia tidak dapat melelapkan mata. Ini bermakna Kamal mampu bekerja siang dan malam tanpa berasa penat. Otaknya bekerja 24jam untuk menyusun memori dan berfikir. Jika dia letih, dia hanya perlu merebahkan dirinya di atas katil dan menanti letihnya itu hilang. Matanya sentiasa celik. Nikmat tidurnya telah ditarik oleh Allah swt daripada dirinya.

Awal tahun kedua pengajiannya di Fakulti perubatan, Kamal bertemu dengan Dr. Izral mengadu akan perihal yang sedang menjadi kemelut dalam hatinya.

“Enta dah bersedia untuk bernikah?” Soal Dr. Izral kepada Kamal serius.

“InsyaAllah Dokter, ana bersedia memikul tanggungjawab ini Dokter,”Kamal menjawab yakin, hatinya sudah bulat membuat keputusan.

“Orangnya enta sudah pasti?” Dr. Izral mahu bertanya perihal calon bakal isteri Kamal.

“Sudah Dokter, adik kepada sahabat ana,”

“Boleh ana tahu namanya?”

“Namanya Zuhairah Khalisah binti Zuhdi Zaidani, pelajar tahun kedua fakulti perubatan,” Jelas Kamal dengan tenang.

“Alhamdulillah, enta memilih orang yang tepat insyaAllah. Ana akan minta isteri ana untuk tanyakan kepada dia ya? Nanti pasal pertunangan, nikah serta walimahnya kita bincang selepas persetujuan calon enta ya?”

“ Baiklah Dokter, sukran jazilan kerana banyak membantu ana selama ini dokter. Jazakallah khaira” Kamal begitu terharu.

“Sudah menjadi tanggungjawab seorang muslim untuk membantu saudaranya yang meminta pertolongan, dekatkanlah diri enta kepada Allah, semoga niat enta sentiasa dipelihara olehNya,” Nasihat itu melekat di dalam ingatan Kamal dengan begitu kejap sekali.

Pertunangannya diikat dua minggu sebelum ujian akhir blok pertama tahun kedua. Dia diijabkabulkan di masjid berdekatan rumahnya yang terletak di negeri Johor. Abang Halif menggantikan arwah bapanya menjadi wali pada hari itu. Sekali lafaz sahaja dengan sahnya Kamal dan Zuhairah Khalisah binti Zuhdi Zaidani telah bergelar pasangan suami dan isteri. Alhamdulillah.

Bermula dari detik itu, mereka berdua digelar sebagai pasangan distinction dan menjadi contoh kepada pelajar- pelajar lain sebagai ikon yang bukan sahaja bagus dalam pelajaran malah bijak dalam aspek pengurusan, kaunseling dan fikrah islami. Ramai juga yang mengikut jejak langkah mereka berkahwin awal sebagai satu langkah mengelak maksiat.

Tiga tahun berlalu, akhirnya Kamal tamat dengan memperoleh segulung ijazah MBBS pangkat satu, tidak lupa juga dua orang cahaya matanya. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Yang lelaki namanya Izzat manakala yang perempuan namanya, Rabi’ah Jannati.

Kamal dan isterinya mula bekerja sebagai doktor di sebuah Hospital di Johor. Agak sukar bagi mereka mengurus masa kerana kedua- duanya bertugas sebagai seorang doktor. Ditambah pula dengan karenah dua orang anak yang sedang membesar. Tugas dalam dunia dakwah pasti juga tidak dilupakan oleh mereka berdua. Saat inilah keteguhan jiwa mereka diuji.

Kusangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan ditengah hari, takdir Allah. Ketika berusia 35tahun, isteri Kamal telah menyambut panggilan ilahi meninggalkan Kamal beserta lima orang anak- anaknya.

Kamal ketika itu sedang sibuk menyiapkan tesisnya berkaitan dengan bidang nanoteknologi perubatan. Setelah tesisnya siap dalam tempoh beberapa bulan, dia meletak jawatan sebagai doktor perubatan dan pulang ke kampung untuk lari dari kesibukan kota. Hatinya sentiasa terluka apabila dia mengelilingi kawasan hospital. Terlalu banyak kenangan manis dia dan isterinya di sana.

Di rumah Kamal mula menanam pisang serta menternak lembu serta kambing. Anak- anaknya dihantar ke sekolah agama swasta tempat dia belajar dahulu. Dia menjadi ayah tunggal mengurus hal ehwal perihal keluarganya. Ibu dan ayah Kamal turut membantu. Anak lelaki bongsunya yang masih berumur dua tahun sering menjadi penemannya ke sana dan ke sini. Si kecil itu juga mempunyai symptom yang sama dihadapi Kamal ketika kecil. Barangkali anaknya yang ini juga punya kelebihan sepertinya.

Dia juga dilantik sebagai tok imam merangkap pengerusi masjid berdekatan rumahnya. Sebuah madrasah tahfiz sains dibuka berdekatan masjid itu oleh Kamal dengan duit hasil jualan ternakan serta pisang miliknya. Tesis kamal telah diterima dan telah dikomersialkan untuk merawat kanser tulang.

Kamal kasihan melihat anak bongsunya yang rindukan belaian kasih ibu. Dia teringatkan Marjan Jalwaa’ yang berusia dua tahun ketika dia kehilangan kasih ibunya. Jika dikira- kira Marjan sudah berumur 20 tahun ketika itu.

“Abi, abi hari ini, Iklil dapat ustazah baru,” Suara anaknya yang keempat mengejutkannya dari lamunan.

“Ya kah sayang? Baik tak ustazah tu?” Kamal bertanya manja sambil mengusap kepala anaknya lembut.

“Baik abi… muka ustazah macam muka umi,” bersungguh Iklil bercerita kepada ayahnya. Kamal sedikit tersentuh dengan kata- kata anaknya itu.Kini dia berumur 6tahun, ternyata anaknya itu amat merindui arwah ibunya. Sudah hampir setahun mereka kehilangan ibu yang dikasihi.

Keesokan harinya, Kamal dikejutkan dengan panggilan talifon daripada pihak sekolah memaklumkan Iklil masuk hospital kerana terjatuh dari tangga pada waktu rehat. Kamal segera bergegas ke hospital untuk melihat keadaan anaknya. Hatinya tidak henti- henti berdoa agar anaknya itu diselamatkan Allah swt. Dia tidak sanggup menerima lagi satu kehilangan dalam hidupnya, itu terlalu pedih untuknya.

Tiba di hospital dia mencari- cari di dalam wad kecemasan kalau- kalau ada anaknya, Iklil.
“Abi!” terdengar suara yang dikenalinya memanggil.

“Iklil” Kamal menoleh tepat melihat bucu sudut bilik sederhana besar itu. Dia dapat melihat Iklil jelas sedang melambai- lambai ke arahnya. Kaki Iklil sedang dibalut seorang doktor. Dia mendekati Iklil dengan senyuman.

“Assalamualaikum, anak abi kenapa?” Kamal bertanya halus.

“Kaki Iklil sakit abi, Iklil terjatuh dari tangga,” anaknya memberitahu akan kesakitan yang dialaminya.

“Kakinya patah encik Kamal, tulang fibulanya patah di bahagian shaft. Saya sedangkan pasangkan simen untuknya. Mungkin enam minggu dia akan memakainya,” terang doktor muda yang sedang membalut kaki Iklil.

“ Baiklah doktor, terima kasih ya,” Kata Kamal sambil mengamati wajah doktor muda itu. Dia seolah mengenali raut wajah lelaki yang sedang berada di hadapannya itu.

“Doktor boleh tak kalau saya tanya sikit?”

“Boleh, Apa dia encik Kamal?”

“Adakah ayah Doktor bernama Helmi?”

“Ya, saya anaknya Helmi,”

“Adakah doktor ingat lagi akan anak murid ayah doktor yang pernah menjaga doktor dulu sewaktu kecil dulu?” Kata Kamal. Doktor itu berpaling menatap wajah Kamal. Dalam dia merenung, matanya mula berkaca- kaca.

“ Adakah saya sedang bercakap dengan abang Kamal? Ni abang Kamal ke?” Abang Kamal.. saya Makram bang, saya Makram” Doktor muda itu memeluk tubuh Kamal kejap. Air matanya mengalir membasahi pipi. Rindunya bertemu dengan abang angkatnya yang dianggap sebagai ibu.

“Makram ayahmu mana dik? Dia sihat?” Kamal bertanya semasa dia masih di dalam pelukan Makram.

“Ayah dah takda bang, dia betul- betul rindukan abang. Sewaktu kami pulang ke Malaysia tahun lepas, kami cuba mencari mencari abang, namun ayah tak sempat bertemu dengan abang,” Makram menceritakan kisah itu dengan nada kesayuan. “Ada surat untuk abang dari ayah, dia mahu saya berikan kepada abang apabila kita bertemu” sambung Makram.

“ Ya Makram, ya. Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana kita telah diketemukan olehnya setelah lama terpisah” Kata Kamal menenangkan kesayuan suasana sekeliling. Iklil terlopong dengan kakinya yang siap bersimen. Dia masih tidak memahami situasi yang berlaku. Dia tercari- cari kelibat seseorang yang tadinya kelihatan bersamanya.

Kamal dan Iklil menanti di wad kecemasan sementara menanti simen balutan kaki anaknya untuk kering. Makram mengambil surat itu daripada pejabatnya dan menyerahkan kepada Kamal. Kamal membuka surat itu dengan hati yang sebak:

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh,
Ke hadapan Kamal yang Ustaz sayangi, ustaz harap Kamal sihat wal a’fiat. Maafkan ustaz kerana tidak memberitahu Kamal akan pemergian ustaz ke luar Negara. Kesibukan ustaz menguruskan anak ustaz yang bertiga itu membuatkan Ustaz terlupa untuk memaklumkannya kepada Kamal. Ustaz tahu Kamal sangat menyayangi anak ustaz yang bertiga itu. Lebih- lebih lagi Marjan. Untuk makluman Kamal, Marjan Jalwaa’ membesar dengan dipengaruhi bayangan Kamal sebagai abangnya. Namun kini dia sudah semakin meningkat dewasa. InsyaAllah ustaz telah menjaganya dan mendidiknya untuk taat kepada perintah Allah dan Rasulnya, juga orang tuanya dan suaminya. Namun dia masih belum berkahwin. Kamal carikanlah jodoh untuknya, namun ketahuilah Kamal, anakku itu bukan hanya menyayangimu sebagai abang tetapi dia sudah mencintaimu. Katanya Kamal sering hadir di dalam mimpinya untuk memberinya nasihat dan kata- kata semangat sewaktu dia dihimpit kesusahan. Jika Kamal masih kekosongan maka pinanglah anak Ustaz itu Kamal. Inilah hadiah teristimewa dari Ustaz untukmu wahai anakku yang kusayangi. Semoga Allah memberkati hidup kalian. Amin
Salam sayang dari bapamu, Ustaz Helmi

Kamal melipat kemas surat yang diterimanya tadi. Dia begitu tersentuh dengan isi kandungan surat itu. Ingin saja dia ketemu dengan Makram dan memaklumkan kandungan surat itu, tetapi dia juga punya rasa malu.

“Ha.. ustazah!” Iklil teruja dengan kedatangan susuk tubuh berjilbab labuh berwarna merah jambu, jubahnya pula berwarna merah hati. Dia mengenakan purdah yang melindungi wajahnya daripada dilolosi oleh mata- mata luar. Kamal seolah kenal dengan mata kecil si wanita berpurdah itu.

“Abi, inilah ustazah baru Iklil. Kan ibu kan?” Iklil memperkenalkan ustazahnya kepada ayahnya. Dia memanggil ustazahnya itu dengan gelaran ‘ibu’ pula. Gadis berpurdah itu tertunduk malu, dia tidak memandang wajah Kamal kerana segan.

Suasana menjadi sunyi seketika, Kamal mati kata- kata, begitu juga dengan gadis berpurdah yang merupakan ustazah kepada anak Kamal.

Tiba- tiba bunyi derap sepatu Makram memecah kesunyian bicara mereka berdua.

“Ah, di sini rupanya adik abang. Abang Kamal perkenalkan… ini Marjan. Eh silap. Ini dia ustazah Marjan Jalwaa’” Makram memperkenalkan gadis berpurdah tadi kepada Kamal. Marjan tunduk tidak memandang wajah Kamal, dia hanya mengangguk halus tanda hormat akan majlis perkenalan itu.

Kamal terkesima, tidak disangka Marjan sudah dewasa dengan begitu cepat. Dia teringat akan saat- saat semasa Marjan masih kecil, dia mendukung Marjan dan membawanya mengelilingi kampung, mengendongnya keliling rumah apabila dia menangis dan mendodoikan Marjan ketika dia sukar untuk tidur. Kamal tersenyum kecil kepada Makram, Makram membalas senyuman itu seolah faham sesuatu.

“Alhamdulillah abang bakal dapat adik ipar baru,” Makram berseloroh mengacau adiknya.

Marjan Jalwaa’ tertunduk malu… bibirnya mengukir senyuman manis.



******TAMAT*******

Soldadu Buta =)

3 comments:

penyair sepi said...

salam..
cam sengal plak cerpen ko..
pening perut aku nih..
xtau ar pe asbab ko dpt idea ni..

cme pkaitan yg aku leh buat
1. apal quran wktu kecik cm imam syafie
2. terer subjek2 sain ni wktu kecik cm adiputra
3. dr izral tu name cm izral dntist bilik sblh2 aku..
4. wat program palestin week, n wat program2 sme skit cm aku..cume bezenya..aku cm xpandai sgt stdy compare dgn ko..keh2..
5. zuhairah khalisah ni name cm D*****H khalisah je..hem hem (bunyi batuk..) ai..de pape ke ni??keh2
6. distinction stiap blok cam raihana!!! wah... (tp xksah pun..keh2..tahniah utk roai)

pastu aku xabes baca lg..
n pengajaran yg last..

8. igt huruf ke huruf alQuran..br aku teringat semula..ke mana hilangnya drp diriku ;-( tenks..ayat tu buat ak merenung kembali diriku.. tenkiu..

p/s: aku xtau nape byk sgt masa ko abeskn utk tulis cerpen..keh2..xpnat ke??
aku kt umah ni bz cm xcukup masa..huhu..tp xper lah..tgh renovate umah kn??slmt btukang lah deh =P

Aizuddin said...

Waalaikumsalam,
tq la ssebab baca.
panjang amat cerpen nih.
Aku baru siap tulis pagi tadi.
Mula tulis semalam lepas zuhur.
Idea mencurah- curah macam coklat yang mencurah- curah ke ladang gandum.
Ambillah pengajaran mana yang baik. Mungkin ada kesilapan di sini sana. Namun aku masih belajar, haha.
Semalam aku dengar suara Fatimah Sharha kat Radio IKIM. Dia ulas pasal Novel Tautan Hati. Cite pasal Aisha Yusra. Aku rasa sangat jauh daripada mereka... mereka insan2 yang sangat hebat.

penyair sepi said...

sehebat2 insan pun ttp manusia..mreka x mnta dkagumi..jd kite pun xplu lah kagum dgn mreka..hehe..slagi mereka menegakkn islam, kite kagum dgn usaha mereka..insyaAllah..=)