Thursday, August 27, 2009

Pagi Bakal Datang (continue)

Aku berjaya lari dari mautku dengan muka dan tubuh yang lebam- lebam serta tangan kananku yang berlumuran darah. Aku menangis menahan sakit, ku gagahi diriku ke sebuah klinik swasta. Mereka menyarankan aku untuk ke hospital namun aku menolak. Aku mampu membayar mereka dengan apa yang aku ada dan itu sudah cukup untuk membungkus tanganku, ditambah beberapa botol antiseptic, dan ubat tahan sakit untukku.

*************************

Dari luar bilik unit kawalan rapi, Yusof melihat ayahnya yang berbaring lemah di atas katil hospital. Mesin sokongan hayat terletak bersebelahan si ayah. Lantunan bunyi mesin elektrokardiogram mengisi kesunyian malam itu. Yusof diam beristigfar sambil berdoa moga ayahnya bangkit dari koma.

Dia juga berdoa moga abangnya sudi datang menjenguk si ayah yang sedang di hujung nyawa. Jika marah si abang masih tak reda, mungkin Yusof patut berundur dari situ. Mungkin si abang tidak dapat menerima dirinya.

Yusof diam. Di dalam mindanya kini, dia mengingatkan kembali peristiwa yang berlaku pada petang tadi.

“Dia bukan anak mak!” Abang Salam meninggikan suaranya.

“Sabar Salam… Dia adik Salam, percayalah cakap mak” Ibu memujuk si abang.

“Mak… adik dah mati mak.. adik dah mati..”

“Jangan cakap macam tu Salam… kalau adik Yusof dah mati… yang dalam rumah ni siapa? Hantu?” ibu cuba meyakinkan dirinya.

“Mak.. sedarlah mak.. bukak la mata mak tu… budak tu bukan Yusof yang dulu.. Budak tu budak lain mak!” Abang Salam mula naik angin.

“Apa yang lainnya? Salam tengok ni Salam.. tengok ni.. kan ini wajah adik Salam” Ibu dekat kepada Abang Salam, tangannya memegang bingkai berisi foto Yusof, ditunjuknya foto ini kepada Abang Salam.

“ Itu foto dulu mak! Yusof yang ada dalam rumah ni bukan Yusof adik Salam mak! Budak tu bukan adik Salam!” Abang Salam menepis bingkai foto.

“Pching!!!” Kaca- kaca bertaburan di atas lantai selepas bingkai itu bertemu bumi. Ibu tergamam menyaksikan perlakuan Abang Salam yang sudah melampaui batas. Ibunya hairan kenapa Salam sukar untuk menerima adik kandungnya sendiri.

Tiba- tiba ayah muncul, “Salam!” kata ayah dengan wajah kemerahan.

Abang Salam diam, hanya tunduk memandang kaca yang bertaburan di bawah.

“Salam dah melampau… kenapa susah sangat Salam nak terima adik kandung Salam sendiri?” Ayah yang sedang berang menyoal.

“Ayah cukup la tu, bagitau je la perempuan gila ni, yang budak tu ialah…”

“Pang!”

Belum sempat Abang Salam menghabiskan perkataannya yang terakhir, tamparan ayah hinggap ke pipi Abang Salam.

“Ayah tak ajar kamu untuk jadi kurang ajar!” marah ayah.

Abang Salam berpaling lalu berlari keluar dari rumah, tanda merah bekas tamparan ayah masih jelas berbekas.

Ayah pula yang tadi segar berdiri tiba- tiba rebah sambil tangannya memegang dada kirinya. Ibu panik, “Abang, abang, bangun bang!”.

Selepas mendengar jeritan ibu barulah Yusof turun dari tingkat atas rumahnya…

Lamunan Yusof terhenti setakat itu, kira- kira begitulah kisah bagaimana ayahnya berada di sini. Namun yang masih bermain- main di fikirannya ialah perlakuan Abang Salam yang menidakkan dia sebagai adik kandung. Tiba- tiba terdetik dalam hati Yusof, “ Siapa aku sebenarnya?”

‘Tut-Tut-Tut’.. talifon bimbit Yusof berbunyi, dia segera menjawab panggilan itu. “Assalamualaikum, helo mak, Yusof bercakap ni..”.

“Yusof.. balik rumah nak.. mak sorang- sorang kat rumah ni, abang kamu tak balik- balik lagi” Suara ibu agak suram.

“Ya mak, Yusof balik sekarang” Dia bingkas bangun lalu meninggalkan kerusi menunggu di hadapan wad kawalan rapi itu. Di dalam hatinya berdoa moga ayah akan bangun semula. Dia mahu bertanya sesuatu pada ayah. Soalan yang amat penting buat dirinya.

No comments: