Assalamualaikum,
Cerita ini mahuku kongsi bersama kalian. Cerita tentang hidupku yang pinginkan kesenangan juga seperti kalian. Hari- hariku yang lepas mahu aku simpulkan bersama untuk dijadikan sebuah perkongsian.
Di awal hidupku sebagai manusia, besarnya aku di dalam sebuah keluarga nuclear yang begitu kecil. Aku, ibu dan ayahku. Segalanya tampak kelam dan padam kerana memori itu sudah tidak secerah dulu yang berwarna- warni seperti pelangi. Barangkali usiaku kini sudah lanjut untuk mengimbau memoriku yang itu.
Ku kira aku beruntung kerana aku jugalah anak tunggal keluargaku.
Kotak- kotak papan di pinggiran daerah kecil persisir pantai itu antaranya pernah mengisi tubuh kecilku ini. Atap nipah yang menutup atas rumahku selalu saja bocor. Lalu ayahku tukarkan dengan zink yang juga bocor kerana karatnya.
Kawasan kuala yang penuh dengan himpunan sampah yang dihumban manusia dari hulu sungai pernah menjadi padang permainanku. Aku orang terhimpit dengan kemiskinan. Makanku hanya sedapat ada. Jika ikan kering yang ada, itu yang aku sapu. Jika tidak terkail apa- apa, faham saja apa yang tinggal untukku. Hanya angin.
Teringat ketika pagi itu ketika usiaku mencecah umur mulanya anak disuruh bersolat. Ibu menyisir rambutku yang sudah siap dilumur minyak kelapa. Mukaku yang gelap ditepeknya dengan bedak wangi lalu diratakannya lembut menggunakan tangan dan kasih sayangnya. “Comelnya anak mak,” ibuku memujiku ikhlas.
“Mak, kenapa ichang(sebutan= E-cang) kene bangun awal harini mak? Ichang mengantuk” Aku merungut halus.
“Sabar sayang.. Ichang mesti suka tempat yang ichang nak pergi ni. Ichang akan jumpa ramai kawan- kawan. Tengok ni Ichang pakai baju baru,” Ibu memujukku lembut sambil tangannya menggosok- gosok bahuku.
Selepas dicium pipi dan dahiku beberapa kali, ayah menghantarku ke sebuah tempat bernama sekolah. Ayah pesan padaku, “Ichang jangan nakal- nakal tau..”. Aku diam kerana ketika itu aku kurang mengerti apa yang dimaksudkan dengan ‘nakal- nakal’. Barangkali ayahku cuma berseloroh fikirku ketika itu.
Bermulalah episod baru di dalam hidupku.
Di sekolah, aku seorang yang protes. Aku berbeda dengan yang lain. Pertama hariku habiskan dengan berkelahi sesama temanku. Hasilnya aku tidak punya seorang kawanpun di situ. Hari pertamaku berakhir dengan tekad untuk tidak ke sana esoknya.
Keesokan harinya, aku lagi pergi ke sekolah kerana termakan akan pujuk ibuku. Janjinya akan dibelikanku kereta permainan. Hingga kini aku ingat janjinya yang masih belum tertunai, aku sudah tidak peduli akan janji itu. Ada peristiwa di hari kedua yang menuntun aku untuk hadir di hari ketiga.
Aku bertemu dengan cinta pertamaku, bukan cinta barangkali mungkin hanya sahabat. Mei Lin, anak perempuan berbangsa cina yang tinggal di pekan daerahku. Ketika aku sedang duduk sendirian kelaparan di kerusi kantin yang belakang, Mei Lin datang kepadaku.
“ Awak tak makan ka?” Mei Lin pertamanya menyoal.
“Sibuk la ko, kalau aku tak makan ko nak bagi ke? Jawabku sensitif. Aku tidak selesa dengan kehadirannya yang barangkali mahu mengejekku sebagai murid yang miskin.
“ Nak, mari la kongsi kuih ni,” Mei Lin menghulurkan kuih karipap yang baru dibelinya dari kantin. Aku juga kasihan padanya kerana dia tidak mempunyai teman. Maklumlah hanya dia saja yang berbangsa cina di sekolah itu. Kebanyakan murid berbangsa melayu dan lebih selesa bergaul sesama mereka. Aku terima karipap yang dihulurkan Mei Lin. Aku juga lapar ketika itu.
Ku habiskan karipap itu secepat yang boleh. Mei Lin ketawa melihat kelatahku yang gelojoh, aku juga ketawa melihat Mei Lin. Sejak hari itu, aku mahu saja ke sekolah walaupun hari cuti. Aku boleh makan percuma dan bermain bersama Mei Lin walaupun rakan- rakan lain mengejek aku ‘si pondan sepet’, namun aku tak peduli.
Hujung tahun tiga aku hilang punca untuk diriku ke sekolah. Sesuatu telah berlaku dan menimpa Mei Lin. Juga sesuatu telah berlaku yang menimpa diriku. Mei Lin dilanggar motosikal ketika kami melintas jalan, tulang belakang Mei Lin cedera teruk dan banyak darah yang hilang. Mei Lin dirempuh ketika dia mahu menyelamatkanku. Dia menolakku ke tepi sedang dirinya dibiarkan dilanggar oleh motosikal itu. Aku hanya dapat menangis sambil melihat Mei Lin terbaring di atas jalan raya dihadapan sekolahku. Mei Lin terkorban dalam nahas itu.
Sejak hari itu, tempat duduk Mei Lin kosong. Kosonglah juga hatiku mahu untuk ke sekolah.
Tidak cukup itu, ayahku pula pergi menyahut seruan ilahi. Ayah dipatuk ular tedung ketika menabur benih padi. Kawasan kampong yang jauh daripada pusat perubatan terdekat menyebabkan ayah lewat diberikan rawatan. Bisa ular yang neurotosik meracuni tubuh ayahku dan menyebabkan kesukaran bernafas. Dia pergi meninggalkan aku dan ibu berteman air mata.
Hidup kami yang dulu dihimpit kesusahan dan ditambah dengan pemergian ayahku kini menyebabkan aku berhenti daripada ke sekolah. Aku hanya sempat belajar membaca dan menulis perkataan- perkataan mudah. Sudah itu, aku mula bekerja sebagai petani kampong.
Setiap pagi, aku akan berbasikal tua gergasi milik arwah ayahku menuju ke bendang. Arus tujuku berlawanan dengan anak- anak lain yang berjalan kaki ke sekolah. Dari jauh aku lihat mereka tersenyum- senyum gembira mahu menimba ilmu. Aku juga punya secebis rasa seperti itu, namun kemiskinan yang mencengkam memaksaku melupakannya.
Membesar dalam suasana yang bukan sesuai untukku, aku ternyata dewasa awal berbanding dengan individu kecil yang lain. Aku belajar berdikari dan tidak pernah kenal erti kenyang. Ibu yang selalu sakit sejak pemergian ayah memerlukan biaya ubat yang tinggi. Harga ubat- ubatan ketika itu amat mahal bagi tubuh kerdil yang memerah keringat ini. Akibatnya ubat- ubatan itu tidak dapatku beli. Mindaku yang muda mudah mati akal untuk mencari jalan yang lain.
Aku mula berfikiran gelap. Aku mula benci kepada golongan kaya yang berumah besar dan berkereta mewah. Mereka ini bagiku buta, buta kerana tidak nampak akan diriku yang sedang terkapai- kapai lemas dalam arus kemiskinan. Ku balas rasa benciku itu dengan mendatangi rumah- rumah mereka. Tubuhku yang kecil menyebabkan kelibatku sukar dikesan di rumah mereka yang besar. Aku ambil barang- barang mereka laluku jual untukku tebus dengan wang. Wang itu ku gunakan untuk membeli ubat ibuku.
Hasil wang haram itu pasti menyebabkan hilangnya keberkatan di dalam rezekiku. Ibuku yang sakit semakin tenat hari ke hari. Aku pula hanya mampu menangis di hari ibuku sudah tidak menyahut lagi akan panggilanku. Di awal umur anak disuruh rotan jika tidak solat ketika itulah aku bergelar yatim piatu. Aku kini tinggal sebatang kara namun aku mampu untuk berdikari. Aku ambil keputusan untuk berhijrah ke kota. Kota batu yang hanya tahu bicara duit. Dunia yang pastinya lebih kejam bandingan daripada kampungku yang kecil ini.
Aku tekad berhijrah dengan duit yangku dapat hasil tebusan barang curi dari rumah ketua kampung. Barang kemas itu ternyata bernilai rm 200- jumlah yang sangat besar bagiku. Aku tiba dikota yang namanya Kuala Lumpur. Stesen tempat aku diturunkan itu namanya, Pudu yang bunyinya kurang lebih seperti budu. Aku lupakan segala kisahku dikampung dan aku mahu membina hidupku yang baru di sini. Aku tukar penyenalan diriku kepada ‘Ray’.
Aku anak jalanan baru di kota ini, kutu rayau yang meminta benci orang yang melihat. Seminggu aku disana dirasakan seperti neraka dunia. Duitku habis dengan begitu lekas sekali. Harga barangan di sini tertanyata mahal lebih berbanding pekan hilir kampungku. Aku tidur beralas kotak bodoh di belakang bangunan kedai sambil menanti sisa- sisa darinya.
Aku mahu mencari kerja namun aku tidak tahu kepada siapa harusku pinta. Aku juga tidak mahu ditangkap aktivis sosial lalu disumbat ke dalam rumah anak yatim. Aku mahu berdikari, aku tak mahu tilam empuk dan teman- teman sebaya mengganggu hidupku, aku sudah mual dengan kehadiran insan bernama ayah dan ibu. Mereka jahat kerana meninggalkan aku sendirian dalam keadaan begitu muda. Namun aku takut untuk mati kerana dengarku mati itu sakitnya seratus kali lebih sakit dari daging disiat- siat.
Dek kerana mahu hidup di dalam hutan batu ini jadilah aku seorang penyeluk saku muda. Jalan- jalan di sekitar Kuala Lumpur dengan mudahnya berada dihujung jariku. Bas, Keretapi, kereta, pasaraya dan semua fasiliti yang ada di situ mampu untukku jadikan lokasi pencarian rezekiku. Rezeki untukku mengisi sesuap nasi dan seteguk air untuk aku terus hidup dikota itu.
Aku tahu yang aku tidak punya tujuan hidup, juga sepertinya aku lebih layak untuk mati daripada menyusahkan orang lain. Aku hanya mencuri ketika perlu saja. Ketika nyawaku betul- betul bertingkah dengan malaikat maut akibat kebuluran yang amat. Duit yang aku perlu saja ku ambil, yang lebihnyaku buang bersama dompetnya. Aku beruntung kerana masih belum pernah ditangkap atau diberkas.
Aktiviti harianku hanya mundar- mandir dan berjalan melihat orang. Aku berjalan kaki atau menaiki bas untuk ke sesebuah kawasan. Bila malam tiba, aku akan mencari kotak dan tidur di mana- mana yang boleh. Kadang kala di dalam palung di kawasan taman permainan, kadang- kadang di rumah buruk tinggalan orang, ada juga di stesen bas dan ada juga di belakang kedai bersama para penagih dadah.
Aku benci melihat golongan yang bodoh ini. Menghisap sesuatu yang boleh menyebabkan hilangnya akal. Apa mereka tidak tahu itu akan mendekatkan diri mereka dengan kematian? Bagi aku, aku takutkan mati jadi aku kawal diriku dari menyentuh dadah yang mereka gilakan itu. Mereka itu layaknya ditanam saja sebelum reput dimamah ulat yang tidak kurang seperti bangkai.
Rutin harian yang longgar menyebabkan aku mencari sesuatu untuk aku tingkatkan kualiti hidupku. Aku sudah mula berfikir untuk mendapatkan penempatan yang tetap kerana diriku kebosanan tidur ditemani embun pagi sepanjang dua tahun di situ. Aku mahu menyewa bilik, namun sewa sangatlah mahal untuk ditampung oleh anak kampung sepertiku.
Aku sedari jalannya hanya ada dengan cara yang itu. Cara najis sebagai seorang penyeluk saku. Kenapalah aku bodoh selama ini membuang duit yang beratus- ratus ringgit dan hanya mengambil sepuluh ringgit untuk makan. Jika aku simpan duit itu pasti aku bisa tinggal di tempat yang lebih selesa sekarang. Aku mula bertindak, aku gandakan aktiviti selukan sakuku.
Namun segalanya tidak bertahan lama, satu hari seorang pemuda perasan yang tangan aku sedang menjangkau dompetnya. Dia sempat menarik tanganku dan menumbukku beberapa kali sambil mulutnya memaki- maki kasar. Orang datang mengerumuni kami dan ada diantaranya yang turut menghukum diriku. Mereka menghempaskan batu di atas jariku serta tangan kananku sampai patah. Aku meraung kesakitan dan meronta mencari peluang untuk melepaskan diri.
Aku berjaya lari dari mautku dengan muka dan tubuh yang lebam- lebam serta tangan kananku yang berlumuran darah. Aku menangis menahan sakit, ku gagahi diriku ke sebuah klinik swasta. Mereka menyarankan aku untuk ke hospital namun aku menolak. Aku mampu membayar mereka dengan apa yang aku ada dan itu sudah cukup untuk membungkus tanganku, ditambah beberapa botol antiseptic, dan ubat tahan sakit untukku.
No comments:
Post a Comment